KUALA LUMPUR:, 16 Jun (Bernama) -- Penjawat awam dilarang menggunakan kemudahan modem untuk membuat capaian terus ke internet kerana ia melanggar Garis Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Internet dan Mel Elektronik di agensi-agensi kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak.
"Garis panduan itu yang dikeluarkan pada 2003, adalah sebagai panduan kepada penjawat awam dalam penggunaan Internet," kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Najib berkata, aktiviti lain yang melanggar tatacara pengguna internet di pejabat kerajaan termasuk menyedia, memuat naik, memuat turun dan menyimpan gambar, lagu atau teks yang bercorak penentangan yang boleh membawa keadaan huru-hara dan menakutkan pengguna Internet yang lain.
Katanya, penjawat awam juga dilarang menyalahgunakan kemudahan perbincangan awam secara dalam talian seperti newsgroup dan bulletin board, menggunakan kemudahan "chatting" melalui internet, menggunakan kemudahan internet untuk tujuan peribadi dan menjalankan aktiviti komersil dan politik.
Najib berkata, kerajaan juga sudah menyekat beberapa laman web dan blog yang berunsur lucah serta berunsur hasutan manakala beberapa laman web dan blog yang sedang dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi masih belum dikenakan tindakan larangan melayari.
Beliau berkata, sehingga kini sembilan orang sudah dikenakan tindakan iaitu lapan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan satu oleh PDRM.
"Sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap mana-mana garis panduan, BNM berhak untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas syarikat kad kredit terbabit di bawah kuasa yang termaktub di dalam Akta Sistem Pembayaran 2003 selepas kajian menyeluruh dilakukan ke atas ketidakpatuhan tersebut dan jenis tindakan yang diambil bergantung kepada tahap ketidakpatuhan," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment