NAZRUL AZAT JAMIL, 30, ada masalah dengan lori. Apabila mendengar sahaja bunyi lori dan bas bergerak, hatinya menjadi tidak tenang. Jantungnya mulai berdegup pantas.
Ketakutannya terhadap kenderaan-kenderaan berat bukan main-main. Segala-galanya bermula ketika dia mengambil ujian memandu buat kali pertamanya empat tahun lalu.
Menaruh harapan untuk lulus, Nazrul bagaimanapun gagal dalam ujian tersebut. Semuanya gara-gara dia terserempak dengan sebuah lori ketika memandu.
"Waktu itu, kereta saya nyaris-nyaris bergesel dengan lori. Jarak lori itu pun sangat dekat... kira-kira sejengkal sahaja. Saya jadi takut dan memandu pun tak betul.
"Lagipun, saya pandu kereta Kancil. Jadi, lori di tepi rasa macam nak hempap saya. Terus instruktor suruh saya berhenti tepi jalan dan dia ambil alih," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.
Dicengkam perasaan takut yang berlebihan, Nazrul hanya berani mengambil semula ujian memandu enam bulan kemudian. Malah, sehingga ke hari ini, perasaan takut itu belum lenyap.
Rasa takut
Pantang nampak kelibat kenderaan besar dan tinggi di lebuh raya, dia pasti akan memperlahankan keretanya. Alasannya cukup mudah. Semoga lori dan bas itu boleh meluncur pergi, membawa bersama-sama perasaan takutnya.
Setiap kali memandu, anak kedua daripada enam beradik itu akan menggenggam erat dan merapatkan dadanya di stereng. Bagi pustakawan itu, tindakan tersebut disifatkan selamat andainya berlaku apa-apa kecelakaan.
Sebelum memiliki kereta, Nazrul gemar menumpang kereta kawannya untuk pergi balik ke pejabat. Lima bulan kemudian, dia membeli sebuah kereta Proton Gen-2.
Malangnya, saiz kereta sedan itu tidak sedikit pun membantu menyingkirkan perasaan takutnya. Lebih teruk lagi, jadualnya ke tempat kerja kini sudah berubah.
"Sepatutnya saya masuk kerja pukul 9 pagi. Tetapi, 6.30 pagi saya sudah keluar rumah. Balik pun lewat. Semata-mata nak guna jalan raya yang lengang. Tak nak bertembung dengan lori," tambahnya sambil tersipu-sipu.
Sedangkan jarak dari rumah Nazrul ke pejabat hanya memakan masa 10 minit!
Lelaki bertubuh gempal itu rupa-rupanya mempunyai lebih daripada satu jenis fobia. Dengar, sebut, tengok dan terbau darah, tubuhnya akan menggeletar, selain berpeluh meskipun dalam bilik berhawa dingin. Penglihatannya boleh jadi kabur dan dia seperti hendak pengsan.
Ironinya, ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dia terpaksa mengharungi satu sesi pendidikan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang memeritkan. Duduk di depan kelas, sepanjang tempoh penjelasan bab pendarahan berlangsung, perasaan Nazrul bagaikan air yang berkocak tidak menentu.
"Saya tak sabar-sabar nak keluar dari kelas. Nasib baik hanya satu kelas PBSM," ujar penghidap hemofobia yang juga mempunyai fobia terhadap ketinggian.
Seingatnya, pernah sekali Nazrul cuba menderma darah. Atas niat untuk beramal, dia tidak sama sekali menyangka diri terpaksa mengalah kepada fobia hanya setelah satu suku pin darah diambil.
|
|
Berkongsi fobia yang sama dengan Nazrul ialah Nor Zaileen Kamar, 27. Penganalisis di sebuah syarikat pembekal gas dan minyak gergasi itu menyedari diri mempunyai hemofobia sejak di sekolah menengah lagi.
Menggelikan
Bercita-cita menjadi doktor tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan oleh Nor Zaileen. Bagaimana hendak membedah pesakit kalau mendengar tentang fungsi jantung mengepam darah pun sudah cukup menggelikannya.
Klimaks fobianya berlaku ketika dia dan keluarga bercuti di Amerika Syarikat (AS) tidak lama dahulu. Tiba-tiba ayahnya diserang sakit jantung.
"Di hospital, hanya ada saya dan emak. Kami perlu memberi kebenaran untuk ayah menjalani pemindahan darah. Saya diberi risalah untuk dibaca.
"Malangnya, saya tidak mampu membacanya. Pihak hospital terpaksa menghubungi adik perempuan saya untuk dibacakan isi kandungan risalah itu dan membuat keputusan," tambahnya.
Zaileen juga takut kepada kotoran dan kuman (misofobia). Ingin memastikan diri sentiasa bersih, sebotol sanitizer pasti menemaninya ke mana sahaja dia pergi.
Menurut Persatuan Psikiatri Amerika, fobia boleh ditafsirkan sebagai satu perasaan takut yang melampau dan tidak rasional terhadap sesuatu situasi mahupun objek.
Dalam kebanyakan kes, fobia berlaku kerana rasa takut jika diri dicederakan. Ambil contoh agorafobia. Penghidapnya besar kemungkinan takut terperangkap di dalam tempat yang sukar untuk melepaskan diri.
Rasa loya, pening-pening, takut untuk mati dan sukar bernafas merupakan antara simptom umum fobia.
Bantuan psikologi
Sementara itu, pakar psikiatri dan psikoterapi, Dr. Stephen Jambunathan ketika dihubungi Kosmo! berkata, tiada salahnya seseorang itu mempunyai fobia. Lagipun, ia bukan satu penyakit. Masalah perilaku itu boleh diatasi dengan mudah jika bantuan psikologi diperoleh seawal mungkin.
Malah, sepanjang kerjayanya dalam bidang psikologi sejak lebih sedekad lalu, kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan telah sembuh seratus-peratus.
"Fobia sebenarnya satu bentuk kebimbangan. Lazimnya, dalam situasi yang umum tidak akan ada sebarang kesan serius.
"Kalau ada paling serius pun, pesakit cenderung untuk mengurung diri di dalam rumah sepenuhnya. Pada tahap ini, pesakit perlu dirawat menggunakan Terapi Perilaku Kognitif (CBT)," katanya.
Kadar kelaziman fobia biasanya sama tanpa mengira gender, bangsa dan negara. Walaupun begitu, fobia boleh berlaku atas pengaruh pelbagai faktor - sistem kepercayaan, pengaruh budaya, didikan, tradisi dan evolusi.
Misalnya, penduduk luar bandar yang biasa 'bekerja' dengan binatang liar tidak mempunyai rasa takut terhadap ular. Tetapi, situasinya mungkin berbeza dengan penduduk bandar.
Biar apa pun puncanya, fobia adalah satu kondisi yang boleh dirawat. Namun, tempoh pemulihan pesakit banyak bergantung kepada tahap keseriusan dan kestabilan psikologi mereka.
Jambunathan menambah, kadangkala preskripsi perubatan sementara diperlukan oleh pesakit dan pengambilan ubat-ubatan ini adalah efektif dan selamat.
Apa yang lebih mustahak ialah pesakit tidak patut menghiraukannya. Sebaliknya belajar mengatasinya. Selepas itu fobia bukan lagi satu isu besar.
sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
No comments:
Post a Comment