KUALA LUMPUR 30 Jan. - Ancaman baru dalam perkhidmatan awam.
Itu gambaran penglibatan kira-kira 50,000 kakitangan awam di seluruh negara dalam skim cepat kaya.
Umpama wabak mudah berjangkit, keadaan itu bertambah buruk apabila ada kalangan pegawai atasan termasuk ketua jabatan turut terlibat menganjurkan skim tersebut.
Penglibatan pegawai atasan itu menyebabkan ramai kakitangan bawahan terjebak secara rela atau 'terpaksa' sehingga menghimpunkan angka sebesar itu.
Malah bagi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman, beliau tidak terkejut sekiranya jumlah kakitangan awam yang terlibat dengan skim itu lebih ramai.
"Bagi CUEPACS kita tidak terkejut sekiranya jumlah itu mungkin lebih lagi, ya lah semua tahu bagaimana 'berhantu' skim ini, ramai yang boleh terpengaruh termasuk rakyat yang bijak pandai.
"Berdasarkan maklumat kita, dalam perkhidmatan awam dari atas, tengah sampai ke bawah terlibat.
''Jadi saya harap tindakan segera diambil, jangan sampai terlambat sehingga mengancam kakitangan awam kita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Berikutan kebimbangan ancaman skim cepat kaya, Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 2/2009, yang berkuat kuasa 13 Januari lalu dikeluarkan.
Ia bertujuan melarang kakitangan awam di semua peringkat daripada membabitkan diri dalam skim itu sama ada sebagai penganjur, pengantara atau pelabur.
Pekeliling itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam.
Pekeliling turut meliputi kakitangan badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan negeri.
Mereka yang terbabit dalam skim berkenaan diarah menghentikan aktiviti itu serta-merta atau berdepan tindakan disiplin.
Omar menambah, dalam hal ini Cuepacs sedia bekerjasama dengan JPA khususnya untuk menyalurkan maklumat yang diperlukan.
Katanya, masih ramai yang tidak berani tampil mendedahkan hal tersebut secara rasmi kerana bimbang diambil tindakan dan sebagainya.
"Saya harap kita cari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan semua. Jangan bila ada yang dedah, kita yang kena, orang atas yang terlibat sama tak kena pula. Itu yang mereka takut.
"Jadi setidak-tidaknya apabila JPA keluarkan pekeliling memberi peringatan mengenai hal ini, CUEPACS sememangnya menyokong. Ia jadi satu penegasan jelas supaya kita tidak terlibat," jelasnya.
Sementara itu, Ismail memberitahu, pekeliling tersebut dikeluarkan untuk mengingatkan lebih satu juta kakitangan awam agar tidak terlibat dengan gejala ini.
Kata beliau, ini bukan bermakna skim cepat kaya telah menular dengan meluas di kalangan kakitangan awam tetapi langkah awal untuk pencegahan.
"Saya tiada angka sebenar tentang berapa ramai yang terlibat. Cuma kalau nak dianggarkan, saya percaya jumlahnya tidak mencapai angka yang boleh dianggap besar.
"Selain pekeliling, kakitangan awam turut terikat dengan peraturan disiplin yang lain. Saya harap mereka faham," ujarnya.
sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/
No comments:
Post a Comment